- »

Wednesday, May 12, 2010

Lelaki Acuan Al-Quran


Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT Yang sentiasa haus dengan ilmu Yang sentiasa dahaga dengan pahala Yang solatnya adalah maruah dirinya Yang tidak pernah takut berkata benar Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Lelaki acuan al-Quran aialah lelaki yang menjaga tuturkatanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibubapanya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orangtua dan keluarga
Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga
Yang akan mendidik anak anak dan isteri mendalami agama Islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup dibawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan Bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup didunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak mudah terpesona
Dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan Syurga
Disitulah rumah impiannya
Bersama wanita acuan al-Quran”



Monday, May 10, 2010

Jangan Dipandang Remeh Dosa Kecil

Ramai manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri selepas diputar belit pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia: "Allah Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Selepas kamu melakukan dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi." Tidaklah semudah itu menanggalkan daki maksiat dalam jiwa raga kita. Jika dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta-merta. Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda tidak akan bertahan lama. Pasti koyak rabak akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.

Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?

Merangsang untuk melakukan dosa besar. Jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan yang dilihat oleh matanya, ciuman atau sentuhan dalam pergaulannya.

Ibarat titisan air yang terus menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras, maksiat dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat: "Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dilakukan. Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar." Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, bagi Allah ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya, dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah murka hingga hari kiamat. Seperti Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan diredai. Demikian pula ada kalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat."


Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.
Dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa seperti mana disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadan hingga Ramadan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa besar." Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagai
manapun akan membawa pengaruh buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa. Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan, maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu? Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu berbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati. Selagi mana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah. Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya? Adakah berkesan ibadat zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti. Semua itu adalah akhir daripada rentetan panjang sejarah dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tidak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut. Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.